Categories
Kisah Benar

“Masa tu aku rasa seperti bumi berhenti berputar …”

Pada hari graduasi, situasi aku tidak sama seperti kawan-kawan yang lain. Saat aku masuk ke dewan graduasi hanya mama dan adik beradik yang lain yang masuk, tapi bukan ayah. Saat nama aku disebut dalam senarai pelajar cemerlang, ayah tiada disitu untuk merasai kegembiraan itu. Saat kawan-kawan yang bergambar dengan senyuman bersama ibu dan ayah, aku hanya bersama mama dan adik beradik. Tiada gambar bersama ayah. Tapi, sebenarnya ayah aku masih ada.

Sebenarnya ayah bukan tidak mahu hadir pada hari itu, tapi ayah sudah lama diuji dengan sakit. Bukan sekejap, tapi hampir 5 tahun diuji sakit bermula dengan serangan angin ahmar. Bermula dari situ, kehidupan aku dan keluarga berubah.

Peranan ayah dalam menguruskan anak-anak sudah mula digantikan oleh mama. Kami adik-beradik pula bergilir-gilir membantu menguruskan ayah walaupun masing-masing ada tanggungjawab tersendiri. Kami tidak pasti sampai bila kesihatan ayah akan bertambah baik.

Aku melangkah ke alam pekerjaan sejurus sahaja tamat bergraduasi daripada salah sebuah kolej. Aku mengambil keputusan untuk bekerja di salah sebuah pusat jagaan warga emas yang sangat menitikkan pendidikan bermula dari bayi sehingga usia warga emas.

Pekerjaan menjaga warga emas bukanlah pekerjaan ‘impian’ lagi-lagi anak muda seperti aku. Tapi ada sebabnya kenapa aku terus berada disini walaupun terpaksa berjauhan dengan ayah yang semakin uzur.

Tanggungjawab aku di tempat kerja sedikit pun tidak menghalang aku untuk terus berbakti kepada ayah. Setiap minggu aku akan bergilir mengambil tanggungjawab untuk pulang ke kampung menguruskan ayah. Begitulah rutin mingguan aku dan adik beradik yang lain.

Sehinggalah pada suatu hari, disaat aku dibuai tidur yang lena dan tidak memikirkan apa yang bakal terjadi walaupun pada petang itu mama maklumkan keadaan ayah.

Sekitar jam 4.15 pagi, aku terima panggilan tertera nama mama, “Ain, ayah dah takde….” rupanya adik yang menelefon diringi dengan tangisan. Allah…aku kaku dan hanya membalas “Tunggu Ain balik…”. Betul, pada waktu itu aku rasa seperti ”bumi berhenti berputar”.

Begitulah cerita 8 tahun yang lalu. Ayah yang Ain sayang telah pergi selamanya. Allah bagi kami adik beradik ‘hadiah’ yang tak ternilai iaitu berkhidmat sepanjang ayah diuji dengan sakit selama 8 tahun. Pengalaman menjaga ayah sebenarnya hikmah besar buat kami.

Kami kehilangan ayah yang sangat baik dan tidak culas menjalankan tanggungjawab. Mama pula kehilangan ‘pelengkap hidup’ yang sangat disayangi. Tapi, didikan ayah terhadap kami adalah ‘bekalan’ untuk kehidupan kami didunia dan akhirat. Terima kasih ayah…”Tunggu Ain di syurga…”

Ibu ibarat ‘kunci’ ke syurga, ayah pula ibarat ‘pintu’ syurga. Jika kita tidak menjaga keduanya, pasti akan susah untuk masuk ke syurga. Jadi taat dan berbakti sebaiknya kepada kedua ibu bapa kita kerana tanpa mereka, kita bukan siapa-siapa.

Al-Fatihah …