BANGI, Khamis – Semua sedia maklum bahawa pada hari Sabtu baru-baru ini adalah 30 Syawal 1444H. Namun begitu, masih ramai lagi yang tidak melepaskan peluang untuk buat rumah terbuka termasuklah anak kepada salah seorang bonda di Darul Insyirah ini iaitu Bonda Harpa.
Alhamdulillah, bonda Darul Insyirah telah menghadiri jemputan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dato’ Mohamad Ridza Hj Illias yang bertempat di MKRS Training Institute, Bangi. Pelbagai juadah utama raya yang menarik telahpun disediakan. Terima kasih Dato’ Mohamad Ridza dan Bonda Harpa atas jemputan ini. Senyum lebar bonda dapat makan sedap.
1) Kekal Aktif Lakukan aktiviti fizikal atau senaman secara sederhana selama 30 minit sehari dan 5 kali seminggu. Contoh aktiviti seperti senaman aerobik dan berkebun atau mencantas pokok bunga di kawasan rumah.
2) Pemakanan Seimbang Lebihkan pengambilan buah-buahan dan sayuran, minum 8 gelas air sehari dan kurangkan pengambilan gula, minyak dan santan dalam makanan.
3) Kesesuaian Berat Badan Indeks Jisim Tubuh (BMI) adalah petunjuk yang digunakan untuk menentukan sama ada berat anda bersesuaian dengan ketinggian anda.
– Kiraan BMI = Berat badan (KG)/Tinggi (m) x Tinggi (m)
4) Jauhi Rokok dan Alkohol Alkohol dan rokok boleh meningkatkan peluang untuk mendapat kanser dan pelbagai penyakit lain. Oleh itu, jauhkan juga diri anda dari rokok dan perokok.
5) Tidur yang cukup Tempoh masa tidur setiap individu orang adalah berbeza. Purata jumlah masa tidur yang diperlukan bagi orang dewasa adalah sekitar 8 jam sehari. Hal ini kerana tidur yang mencukupi memberi kesegaran dari segi mental dan fizikal.
6) Kesihatan rohani dan jiwa Pupuk rasa kasih sayang sesama ahli keluarga, rakan dan jiran tetangga. Atasi masalah tekanan dalam diri dengan baik dan amalkan asas kerohanian yang cemerlang.
7) Pemeriksaan kesihatan Antara pemeriksaan yang boleh dilakukan adalah pemeriksaan tekanan darah, tahap kandungan gula dalam badan untuk penyakit kencing manis dan ujian paras kolestrol.
Di peringkat usia tua, beberapa perubahan berlaku. Antaranya :-
1) Perasaan keseorangan dan kesunyian disebabkan kehilangan pasangan hidup, kehilangan teman-teman, berjauhan dengan anak-anak dan kekurangan upaya untuk bergerak
2) Kesempitan kewangan kerana bersara dan peningkatan perbelanjaan untuk rawatan perubatan
3) Perubahan pada tubuh badan seperti pergerakan dan tindakbalas menjadi perlahan, kurang daya ingatan, lemah sendi dan otot dan masalah tidur
🔹Tanda-tanda awal anda tidak dapat menyesuaikan diri di usia tua – cepat marah – sentiasa berasa letih dan lesu – mudah risau – kesedihan yang berpanjangan – gangguan tidur – kurang selera makan
🔹Petua ke arah kesihatan mental yang baik 1) luahkan/kongsi masalah anda dengan orang lain 2) luaskan pergaulan dengan melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti 3) penuhi waktu sebaik mungkin seperti berkongsi hobi dengan keluarga 4) Jaga kesihatan diri 5) Bersikap realistik mengenai perubahan dalam asoek kekuatan fizikal, daya ingatan dan daya tumpuan
Dementia memberi kesan kepada otak dan mengakibatkan masalah berkaitan perubahan pada :
🌹Memori
🌹Tingkah Laku
🌹Orientasi
🌹Emosi
🌹Bahasa
🌹Aktiviti Harian
🌹Personaliti
🌹Kebolehan Membuat Keputusan
Terdapat banyak jenis Dementia, yang utama adalah penyakit Alzheimer.
▪️Siapa yang berisiko?
– Golongan yang berumur 65 tahun ke atas dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap Dementia.
▪️Langkah-langkah mengurangkan risiko mendapat Dementia?
1) Mengawal tekanan darah dan diabetes
2) Amalkan cara hidup sihat
3) Aktif secara fizikal dan mental
4) Pemakanan sihat dan seimbang
▪️Bolehkah Dementia dirawat?
– Buat masa ini, Dementia tidak dapat dirawat TETAPI terdapat :
Ubat yang boleh mengawal dan merawat simptom Dementia yang boleh mengganggu kehidupan seharian. Pelbagai terapi lain yang dapat membantu pesakit seperti senaman dan aktviti sosial (muzik, kesenian, kraftangan, permainan dan lain-lain)
BANGI, 17 April 2023 – Pada hari Sabtu yang lepas, Yayasan Maghfirah dengan rakan kerjasama, iaitu Darul Insyirah telah menganjurkan majlis khatam al-Quran bersama bonda-bonda di Madrasah Ramadan. Majlis khatam al-Quran ini telah dipimpin oleh Ustaz Annuar Salleh.
Majlis ini telah dihadiri seramai 17 orang bonda Madrasah Ramadan. Turut hadir, ketua pegawai operasi Darul Insyirah, Puan Siti Aishyah Sulaiman dan penyelaras Program Madrasah Ramadan, Ustaz Annuar Salleh.
Turut berlangsung pada hari yang sama adalah Ceramah Perdana yang disampaikan oleh Ustaz Fadhil Yahya dengan tajuk Lailatul Qadr Membentuk Jiwa Hamba. Ustaz Fadhil Yahya menyeru untuk semua sama-sama bermuhasabah diri di 10 Ramadan terakhir sebelum Ramadan meninggalkan kita semua.
Seusai selesai ceramah perdana tersebut, majlis diteruskan dengan Majlis Iftar Akbar, dimana semua waris bonda di Madrasah Ramadan turut hadir untuk berbuka bersama. Yayasan Maghfirah juga sempat untuk memberikan sumbangan kepada pelajar tahfiz Kampung Kapal, Broga, Semenyih.
BANGI, 13 April 2023 – Darul Insyirah telah menganjurkan majlis khatam al-Quran bersama bonda-bonda Darul Insyirah Aisyah. Majlis khatam al-Quran ini telah dipimpin oleh tenaga pengajar Darul Insyirah, Ustazah Bushro Talib.
Majlis ini telah dihadiri seramai 14 orang bonda Darul Insyirah. Turut hadir, pengerusi dan pengasas Darul Insyirah, Puan Hajah Widad Asnawi, tenaga pengajar Darul Insyirah iaitu Ustazah Mahfudzah dan Mak Long Fatimah. Majlis khatam al-Quran ini adalah majlis tahunan yang akan dianjurkan pada setiap hujung bulan Ramadan.
Antara bait berharga yang telah dikongsikan oleh Pn Pengasas Darul Insyirah adalah :-
“Al Quran ini diturunkan sebagai peringatan kepada kita semua. Apabila telah khatam quran, ambillah sedikit masa untuk kita bertadabbur dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk ingatkan anak-anak agar bacalah Al-Quran. Jagalah diri dan ahli keluarga kita daripada siksa api neraka”
Firman Allah SWT:
فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ
Maksudnya: Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh) [Surah al-Maidah, 5:48]
Semoga Allah menerima amalan kita dan memberikan kekuatan kepada kita untuk melaksanakan Syariat Allah SWT.
BANGI, Khamis – Buat julung-julung kalinya, YM Education & Training Center (YM Edu) tampil bersama-sama Darul Insyirah membuka peluang madrasah ramadan kepada ibunda diluar sana untuk merasai lebih kenikmatan ramadan dengan penyediaan pelbagai aktiviti menarik seperti Kuliah Dhuha, tadarus 30 juzuk dan pelbagai lagi.
Hari pertama kemasukan bonda ke Madrasah Ramadan telah pun berlangsung dengan jayanya pada petang semalam. Bermula 22 Mac 2023 sehingga 18 April 2023, para bonda akan bermukim dan beraktiviti disini. Program ini berlangsung di YM Education & Training Center, Kampung Kapal, Ulu Beranang, Lenggeng, Negeri Sembilan.
Alhamdulillah, seramai 19 orang bonda diiringi oleh waris masing-masing telah pun hadir membuat pendaftaran pada hari pertama semalam. Mereka tampak begitu seronok dan teruja untuk memulakan aktiviti amal ibadah sepanjang bulan ramadan ini.
Sambutan kedatangan diserikan lagi dengan kehadiran Puan Hajah Widad Asnawi selaku Pengerusidan Pengasas Darul Insyirah yang turut hadir memeriahkan. Tidak dilupakan juga kepada Puan Siti Aishyah Sulaiman selaku Ketua Pegawai Operasi Darul Insyirah bersama team Darul Insyirah lainnya yang telah hadir membantu, menyokong dan memudah cara sepanjang program madrasah ramadan ini berlangsung.
Setinggi ucapan terima kasih juga diucapkan kepada Ustaz Annuar Salleh selaku Penyelaras kepada Program Madrasah Ramadan pada kali ini. Semoga semua bonda-bonda semakin seronok beribadah di Madrasah Ramadan sepanjang sebulan ini.
BANGI, 01 Oktober, Sabtu – Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan diadakan pada 1hb Oktober pada setiap tahun sesuai dengan pengisytiharan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi No. 45 / 106 yang telah menetapkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa.
Pada tarikh ini, Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan diadakan. Ia merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban.
Majlis Pelancaran anjuran Darul Insyirah, Selgate Healthcare dan Kompleks EVO Mall yang telah berjaya mengumpulkan kira-kira 250 orang dalam kalangan yang berkepentingan dari pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pengendali warga emas, NGO, swasta, ahli akademik, siswazah, jawatankuasa masjid dan surau serta seluruh komuniti disekitar Bandar Bandar Bangi dalam majlis ini dengan tema “Celik Urus Harta untuk Hari Tua”.
Pensyarah Institut Perbankan & Kewangan Islam (IIBF),UIAM, Prof. Dr, Aznan Hasan, berkata “Kajian oleh EPF menyatakan bahawa masalah besar sebahagian bumiputera terutamanya adalah masalah pengurusan harta.Yang muda buat cara macam yang tua, yang tua buat cara orang muda. Orang muda sepatutnya berani ambil risiko dan hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki manakala ketika menginjak usia 35 tahun dan ke atas, kita sepatutnya sudah tahu apa yang patut dan tidak patut kita buat. Kita dah boleh fokus bak kata orang putih good act. ”
Menurut beliau, “Negara kita ini negara menua (ageing society) menuju tahun 2030 dimana ketika itu dianggarkan15% kebanyakannya berumur 60 tahun ke atas. Bayangkan kalau tiada simpanan yang betul, cukup dan disalurkan ke tempat yang selayaknya?”
Tambahnya lagi, “Bagi saya, anak-anak perlu bertanggungjawab dengan orang tua tapi tak dinafikan pembentukan rumah-rumah warga emas sangatlah penting. Kadang dengan adanya rumah warga emas begini, itu lebih tersusun untuknya”
“Orang kita kalau kata tentang wakaf/sedekah yang dilihat adalah orang masjid, buat kubur atau madrasah. Kan?, Bila ada yang tanya ni wakaf untuk apa? Kita jawab untuk orang tua, dia tanya ada pahala ke?”
“Sedangkan dalam Islam, wakaf adalah satu benda yang cukup besar. Bukan setakat untuk masjid atau madrasah. Wakaf sedekah untuk orang-orang tua sangatlah bagus. Sudah tiba masanya kita perlu lihat rumah warga emas ini sebagai Public Private Partnership (PPP) dimana gabungan antara wakaf dan bisnes seperti ini akan melancarkan lagi perjalanan wakaf dan penubuhan rumah yang berbentuk warga emas ini.”, tegas Prof. Dr, Aznan Hasan.
“Kita mahukan negara Malaysia hebat dalam menguruskan isu warga emas dan menjadi sumber rujukan kepada ramai pihak. Oleh itu, kena pastikan semua golongan ambil berat kerana tugas, peranan dan tanggungjawab ini adalah milik kita bersama bukanlah hak milik pengendali pusat warga emas semata-mata, tetapi ianya adalah hak milik semua dalam memastikan Malaysia menjadi Negara Tua yang proaktif, dinamik, profesional dan patuh syariah.” tegas Pn Hjh Asral Widad Ahmad Asnawi, Pengerusi Darul Insyirah dalam ucapan aluannya.
Sehubungan dengan itu, kehadiran Dato’ Mohd Nafidz Abdul Razak selaku Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan MegaKlinik Zahran sebagai perasmi dalam majlis ini turut menyokong bahawa isu warga emas ini adalah tanggungjawab bersama dan memaastikan kerjasama baik ini terus berpanjangan. Beliau turut berpendapat bahawa hidup kita bukan semata nak cari rezeki, tetapi perjuangan paling besar adalah apa yang kita sumbangkan pada agama, masyarakat dan negara.
Dalam pada itu, Majlis Pelancaran Bulan Warga Emas telah pun dilancarkan pagi semalam. Majlis telah pun disempurnakan lagi dengan dua Slot Bicara Urus Harta dengan tajuk “Persiapan Kewangan Hari Tua” oleh Puan Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir, Pengasas HIJRAH Wealth Management Sdn Bhd dan “Scammer Kewangan Musuh Negara” oleh ASP Nor Sharina binti Mohd Amin, Pegawai Penyiasat Jenayah Filem/Muzik/Paten Bahagian Siasatan Jenayah Siber & Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
Lebih menarik lagi, sambutan ini telah dilengkapi dengan kehadiran reruai-reruai seperti Darul Insyirah (DI), Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU), Qoroa, Int3ree Mall, Megaklinik Zahran, Wasiyyah Shopee, Ukhtees, Yayasan Wakaf Malaysia dan beberapa lagi.
Alhamdulillah, Majlis Pelancaran Bulan Warga Emas Sedunia yang julung-julung kalinya diadakan diluar mendapat kerjasama Selgate Healthcare dan Kompleks EVO Mall, Bangi bersama hampir 20 rakan strategik lainnya. Dalam tempoh sepanjang bulan Oktober ini pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan khususnya buat bonda-bonda di Darul Insyirah.
Pernah tak kita terfikir mengapa setiap kali Ramadhan pasti orang berlumba-lumba untuk mengkhatamkan membaca Al-Quran dan bertadarus? Selain malam Al-Qadr ada peristiwa lain yang berlaku di dalam bulan Ramadhan iaitu penurunan Al-Quran dan disebabkan itulah Ramadhan merupakan bulan Al-Quran.
Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Jadi peristiwa Nuzul Al-Quran memberi makna yang terlalu besar kepada umat Islam di dalam kehidupan. Ayat al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.
NUZUL AL QURAN (17 RAMADHAN ) Peristiwa agung dan istimewa dalam sejarah umat ialah malam diturunkan al-Quran (Nuzul al-Quran) yang berlaku pada 24 Ramadhan. Ia juga disebut Allah sebagai malam yang diberkati. Firman Allah SWT. :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.” (Surah al-Dukhan ayat 3).
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Surah al-Qadr, ayat 1).
“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
‘Malam yang berkat’ yang dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah SWT telah memilih tarikh turun kalam-Nya buat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu sendiri.
Di dalam ketiga-tiga ayat di atas menunjukkan penurunan Al-Quran berlaku pada bulan Ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.
MAKNA NUZUL QURAN Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang tinggi. ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan, kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia dan di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara seperti tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi dan sebagainya.
Kelebihan al-Quran ialah tidak ada satu perkara pun yang terlepas atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.
Firman Allah: “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)”. (Al-An’am:38)
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
RasululLah SAW bersabda: “Al-Quran diturunkan sekaligus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun” (Hadis riwayat Ibn Abbas.)
Al-Quran sememangnya adalah penyelesaian untuk segala masalah yang ada di muka bumi ini. Syariat yang ditetapkan dalam Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kerana ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.
18 MAC 2021 : Antara isu yang dibicangkan adalah bagaimana kerjasama antara Darul Insyirah dan Settera Healthcare akan menjadi sebuah pakatan yang bermanfaat, makmur dan berterusan. Intipati utama dalam Brainstorming ini adalah kedua dua pihak berbincang tentang rangka yang perlu disusun dengan teliti seperti :-
1.Pengurusan dan pentadbiran syarikat masing-masing.
2.Struktur SPV (special purpose vehicle) untuk menjalankan pentadbiran, pengurusan, kemudahan penjagaan usia Islam bertaraf dunia bersama.
3.Jenama dan konsep penjagaan warga emas islamik.
Semoga dengan kerjasama ini akan dapat meningkatkan prestasi syarikat masing-masing disamping dapat meningkatkan mutu kualiti yang ditawarkan kepada warga emas.