Categories
Umum

Ramadhan Bulan Al-Quran

Pernah tak kita terfikir mengapa setiap kali Ramadhan pasti orang berlumba-lumba untuk mengkhatamkan membaca Al-Quran dan bertadarus? Selain malam Al-Qadr ada peristiwa lain yang berlaku di dalam bulan Ramadhan iaitu penurunan Al-Quran dan disebabkan itulah Ramadhan merupakan bulan Al-Quran.

Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Jadi peristiwa Nuzul Al-Quran memberi makna yang terlalu besar kepada umat Islam di dalam kehidupan. Ayat al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril secara berperingkat-peringkat hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

NUZUL AL QURAN (17 RAMADHAN )
Peristiwa agung dan istimewa dalam sejarah umat ialah malam diturunkan al-Quran (Nuzul al-Quran) yang berlaku pada 24 Ramadhan. Ia juga disebut Allah sebagai malam yang diberkati.
Firman Allah SWT. :

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat.”
(Surah al-Dukhan ayat 3).

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
(Surah al-Qadr, ayat 1).

“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”
(Surah al-Baqarah, ayat 185)

‘Malam yang berkat’ yang dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah SWT telah memilih tarikh turun kalam-Nya buat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu sendiri.

Di dalam ketiga-tiga ayat di atas menunjukkan penurunan Al-Quran berlaku pada bulan Ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.

MAKNA NUZUL QURAN
Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang tinggi. ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan, kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia dan di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara seperti tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat, sains, teknologi dan sebagainya.

Kelebihan al-Quran ialah tidak ada satu perkara pun yang terlepas atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:
“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan)”. (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

RasululLah SAW bersabda: “Al-Quran diturunkan sekaligus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun” (Hadis riwayat Ibn Abbas.)

Al-Quran sememangnya adalah penyelesaian untuk segala masalah yang ada di muka bumi ini. Syariat yang ditetapkan dalam Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kerana ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.